~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~The Word Inside the Word~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Relakan perpisahan itu


 Pernahkah kita terasa tiba-tiba sahaja seolah-olah tidak mengenali pasangan kita? Mengapa dia menjadi "manusia lain"? Seakan-akan kita belum pernah mengenalinya walaupun telah berumahtangga sekian lama. Jika kita pernah mengalami perasaan itu, jangan terkejut. Ia adalah perkara biasa. Bukan sesuatu yang luar biasa.
Itu semua gara-gara warna sebenar (true colours) pasangan kita mula terserlah. Satu demi satu wataknya yang tersirat mula tersurat. Mengikut kajian pakar perkahwinan, hanya setelah usia lima tahun perkahwinan, barulah masing-masing (suami dan isteri) mengeluarkan semua sikap dan perangai mereka yang tersembunyi.
Pernah kita baca di dada akhbar  bagaimana kelohan seorang isteri yang telah disimbah asid oleh suaminya. Katanya, "setelah tiga bulan berkahwin barulah saya sedar bahawa suami saya sebenarnya seorang yang panas baran." Ironinya, mungkin pasangan itu telah bercinta (berpacaran) tiga tahun sebelum mereka berkahwin. Bayangkan, tiga tahun bercinta tanpa mengenal diri kekasih yang sebenar. Benarlah cinta itu buta.
Cinta kerana nafsu memang buta. Kita dikelabui oleh daya tarikan fizikal sehingga tidak punya mata hati dan akal untuk mengenal siapa yang kita cintai dengan tepat dan betul. Selama tiga tahun bercinta mungkin yang kita 'gunakan' cuma nafsu dan emosi bukan fikiran dan hati. Hasil, setelah tabir perkahwinan mula diangkat, tabir percintaan pun berlabuh. Realiti tidak seindah ilusi. Kenyataan berbeza sungguh daripada impian.
Masa bercinta, warna sebenar – true colours pasangan kita tidak akan ketara. Dia boleh bermuka-muka dan rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita. Dan kita juga rela mengikut segala kehendaknya. Kita dan dia mabuk cinta! Namun semakin lama berumah-tangga, maka semakin ketara kelemahan dan kekurangan. Apakah dia umpama bulan yang dipuja dikejauhan oleh Sang sastrawan tetapi botak dan berlopak di mata seorang angkasawan?
Pada tahap ini, ramai yang mula menyesali diri. Mengapa dia yang ku pilih? Tanpa sedar bahawa pada masa yang sama, dia juga mungkin berbisik mengapa kita yang dipilihnya? Inilah bibit-bibit yang boleh meruntuhkan sebuah rumahtanga. Yang nekad, rela berpatah arang lalu menempuh jalan penceraian. Yang penakut, menunggu dengan resah memendam perasaan,tanpa ada lagi keceriaan.
Manusia adalah makhluk yang sentiasa berubah. Ia punya hati yang sangat konsisten untuk berbolak-balik. Bila hati berubah, fikiran dan tingkah laku juga akan berubah. Untuk kita mengenal manusia (termasuk pasangan kita) kita terpaksa mengenali perubahan itu. Ah, ini suatu yang sangat sukar. Masakan tidak, untuk mengenal hati sendiripun acapkali kita tidak mampu, inikan pula hati orang. Sukar diduga dan ditebak.
Akibatnya, ramai orang yang berkahwin dengan orang yang 'tidak dikenalinya'. Bukan rupa zahirnya tetapi wajah batinnya. Disangka permata, rupanya kaca. Cuaca rumah tangga mula berubah. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari. Situasi inilah yang banyak berlaku dalam rumahtangga kini hingga menyebabkan (mengikut kajian) setiap lima belas minit berlaku satu penceraian!

sambung baca sini

- Artikel iluvislam.com Isn, 11 Jul 2011 11:15 | Pahrol Mohd Juoi | Editor: nurilla88

0 komen disini:

Post a Comment

titipkan sepatah dua kata untukku runtum penuh hikmah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...